Friday, May 16, 2008

Entri Emosi

Salam semua.

-Minggu Pertama musim Exam-
Seperti biasa, aku raikan Jumaat dengan penuh nikmat syukur. Tambahan pula dah selesaikan dua paper termasuk semalam. Bagaimana? Susah nak jawab persoalan tersebut, yang penting aku sudah berusaha dan berikhtiar. Selanjutnya, berTAWAKKAL. Pengalaman menjadi guru terbaik, tidak semua yang aku idamkan akan didakap mudah. Tapi aku puas mencuba sebaik mungkin untuk musim peperiksaan kali ini. Maka hari ini aku memanjakan diri dengan membaca akhbar dan majalah sepanjang hari + bersenam sampai letih (nampak sangat tak berapa fit hehe). Minggu kedua dan seterusnya bakal menanti insyaAllah.


Gambar(turutan daripada atas) :
1) Pn. Rozie Che Deris - ibu angkat merangkap Guru Homeroom Tawadhu bersama kawan-kawan di MRSM Muar.
2) Tuan Ngarif Tukiman - cikgu fizik yang cukup sabar melayan kerenah empat jejaka idaman Malaya yang tak berapa handsome hehe ;)
3) Bersama mama di majlis hari penyampaian hadiah di darjah tiga. Inilah hari paling bersejarah, kali pertama naik pentas menerima hadiah. Lepas itu, selalu dah naik pentas terima hadiah. Terima kasih mama, berkat doa mama.

-Guru-
Berbalik pada terma 'Guru', aku tertarik dengan khutbah Jumaat Ustaz Dawi Cahyono kala tadi. Esakan beliau mendoakan sejahtera guru menguis 'hati batu' aku. Ya benar, aku ikut emosi mengenangkan perjuangan dilapangan universiti hampir dipenghujung waktu. Namun semua ini bermula dengan didikan para guru. Meniti memori, aku bersetuju juga merelakan jika sebahagian kita memartabatkan guru bagai membakar diri demi menerangi kehidupan orang lain.

Jika tidak dengan 'deraan' Atuk membuat latih tubi matematik disekolah rendah, mungkin aku tidak betah mengira sekarang. Jika tidak dengan ugutan cikgu untuk menghantar aku ke Hendry Gurney didarjah tiga, mungkin aku dilapangan berbeza sekarang. Jika tidak dengan rotan Ustaz Kassim (Warden asrama MRSM Muar) *aku ahli lembaga disiplin pelajar yang sanggup fly untuk ke machine ATM hehe ;) mungkin aku terus hanyut sekarang. Jika tidak dengan tunjuk ajar para pensyarah di UTP sekarang, mungkin langkah aku tidak sepanjang ini sekarang. Jika tidak dengan didikan abah & mama, mungkin aku tidak pandai menghargai jasa orang sekarang. Itu hanya sekelumit kenangan manis aku bersama insan yang bergelar guru. Jujurnya, setiap mereka punya sesuatu yang aku dambakan. -Ilmu dan bimbingan- Aku tidak hanya terhutang budi dengan mereka, bahkan terhutang segalanya kerana meraka benar mengasuh aku agar menjadi manusia berguna. Setiap doa mereka membawa keberkatan, setiap ajaran meraka membawa kerahmatan.

-entri emosi-
Mungkin ini entri emosi, tapi aku ikhlas menyatakan kebanggaan aku diasuh oleh sekalian guru berbakat. Andai mereka masih ada, tahniah dan jutaan terima kasih atas segala tunjuk ajar juga akan aku minta mereka teruskan usaha dan tanamkan keihklasan serupa. Andai mereka dijemput Allah sebelum aku, Al-Fatihah pengganti diri. Maafkan aku, anak muridmu yang penuh kekhilafan meniti hari-hari penuh dugaan.
Sebelum mengundur diri, aku baitkan rangkap pantun indah ini buat penyejuk hati.

Pisang emas dibawa belayar,
Masak sebiji diatas peti,
Hutang emas boleh dibayar,
Hutang mati dibawa mati.

Cantik bukan? al-Fatihah.
Selamat Hari Guru.

-active11-