Wednesday, December 31, 2008

Kejayaan??


Salam semua,

Terlontar persoalan dalam diri, apekah azam aku untuk 2009?
Aku termenung panjang dibumi Sitiawan yang nyaman dan mendamaikan.Tidak mahu berangan-angan tinggi, tapi cukuplah sekadar aku ingin membaiki diri agar lebih baik daripada tahun-tahun sudah. Mungkin asasnya nampak mudah, tapi resolusi ini sukar untuk digapai!!!


Aku bersyukur sekurang-kurangnya tahun 2008 ditutup dengan nota gembira. Aku tidak menafsir ia sebagai KEJAYAAN, namum itu adalah ASAS PADA PERJALANAN YANG PANJANG. Masih tergambar jerit perih keluarga membesarkan aku dulu, kini tiba masanya aku pula berbakti pula pada semua. Melihat senyuman keluarga tiap kali pulang bercuti, aku makin yakin untuk melangkah maju dalam kerjaya. Evolusi dari seorang kanak-kanak kecil, melangkah menjadi remaja aktif, kini seorang belia yang terpikul tanggungjawab. Aku berikrar agar istiqamah untuk terus berbudi akan sentiasa tebal dalam diri.


Dalam menutup tahun 2008 ini, suka aku berterima kasih pada Kencana HL kerana memberi aku ruang untuk aku belajar dan terus belajar. Bimbingan dan sokongan semua, amatlah dihargai. Kini aku jelas, masih banyak ruang untuk aku memperbetulkan kelemahan diri demi menjadi jurutera yang kompetan.


Masih belum terlewat juga untuk aku sampaikan salam Maal Hijrah untuk kalian. Semoga tahun 1430 dan 2009 memberi sinar cerah ditengah-tengah kita berperang dengan konflik dunia terutamanya keadaan ekonomi yang mencengkam. Semoga kita terus bercita-cita tinggi, namun sahsiah terpantul rasa rendah diri.
Selamat Tahun Baru 2009!!!

active11

Sunday, November 30, 2008

Aku Dan Dewasa

Salam semua,

Begitu deras masa berlalu, aku hampir tiada masa untuk menulis dan berkongsi. Semua makin dihambat waktu mencari sinar dalam kekalutan meraih rezeki. Andaikan dulu usiaku berperang dengan buku, tapi kali ini usiaku dicelah habuk dan debu. Mujur juga tergerak hati ini untuk mencoret sesuatu, Alhamdulillah.

Menghabiskan hujung minggu dengan acara 'orang bujang' cukup memberi aku kebebasan dan kelapangan.Biarlah hujung minggu ini diisi dengan hal bermanfaat daripada terlajak tidur sampai matahari meninggi. Tapi aku dapat merasakan aku semakin culas untuk membaca. Realitinya, aku tidak mampu menghabiskan walau sebuah buku sejak bekerjaya. Benarlah firman Allah, 'Demi masa, Sesungguhnya Manusia dalam kerugian'. Semoga aku tidak terus rugi dan berputiknya kesedaran ini bakal membawa manfaat untuk diri sendiri dan juga masyarakat.

Berbicara pada isu kerjaya, suka andai aku dapat berkongsi pengalaman yang tidak seberapa ini. Menceburi bidang fabrikasi, semuanya berkait rapat dengan 'material' dan spesifikasi. Sudahkan berperang dengan berjenis-jenis dokumen dan prosedur, seringkali juga bertelagah dengan para kontraktor yang bermacam ragam. Andai dulu aku berlembut dan diserbu seribu satu persoalan, tapi kini aku menjadi lebih dewasa. Aku belajar agar bertegas dan lebih bertanggungjawab atas setiap yang diputuskan. Tugas jurutera tak semudah yang disangka. Ada tarikan semulajadi untuk diketahui. Punya jutaan kejutan pada setiap satu keputusan. Tekanan sudah menjadi mainan hidup walaupun untuk jurutera setahun jagung ini. Biarlah, masih banyak masa untuk enjoy dengan pilihan hidupku ini.

Sementelah yang menarik dengan tugasan ini, aku berpeluang mendekati lebih rapat 'lembaga api' yang menjadi ikon tetap dunia petroleum, - Pelantar Minyak-. Syukurlah, aku berpeluang merungkai satu persatu persoalan berkaitan dunia carigali minyak dengan Kencana HL. Sekurang-kurangnya, aku beroleh ilmu dengan pengalaman dan dari pengetahuan orang lain. Diharapkan hari-hari mendatang bakal melengkapi aku dengan lebih banyak rahsia dunia kejuruteraan. Aku makin jatuh cinta dengan kerja, makin bersemangat mengembangkan ilmu juga makin bersedia berhadapan tekanan.

active_11

Sunday, October 19, 2008

++Bukan Larian Biasa++Samsung innov8 Run++


Salam semua.
Aku mencari tenaga dalam kelelahan minggu yang panjang. Meraba kekunci laptop yang begitu berjasa sepanjang pengajianku benar memberi aku kelapangan. Kelapangan yang dinikmati hanya pada hujung minggu. Aku ditempias virus 'workoholic' daripada lapangan berdebu Pelabuhan Lumut.


Mujur Ahad muncul menyelamatkan jiwa yang ingin enjoy. Dapatlah aku memberikan ruang buat mindaku untuk isu-isu semasa yang sarat dengan politik dan ekonomi yang meletus serata dunia. Semakin ditancap, makin berat kepala berputar dengan arus dunia yang seakan-akan dilanda badai besar.

Aku melewati berita semasa dengan meneliti pula 'gadget' terbaru di pasaran. Aku begitu tertarik dengan Samsung innov8 canggih yang memenuhi citarasa setiap individu sofistikated masa kini. Rekaannya berkeupayaan tinggi bahkan ia menjadi impian aku untuk memilikinya. Nak atau tidak, aku telah meletakkan satu impian. Ia kekal menjadi impian, namun impian mampu dikejar jadi kenyataan.

Samsung innov8 Run

Rangka promosi innov8 merangkumi sesi Samsung innov8 Run. Aku melihat ini platform terbaik untuk menguji 'chemistry' aku bersama innov8 disamping dapat meluangkan masa bersama 'pecinta gadget' yang lain bertukar idea dan maklumat. Barangkali sesi ini bakal menambat hatiku untuk membuat pelaburan memilikinya. Ingat, aku punya impian heheh. Tambahan pula, aku suka mencabar keupayaan sendiri. Dibantu dengan peranti terbaik dan semangat kerjasama berkumpulan, aku pasti menghasilkan kerja terbaik untuk acara itu nanti. Mana tahu, aku mungkin bertuah dapat memiliki innov8 secara percuma diakhir acara.Hehehe.. aku memasang angan-angan dan ia mungkin akan jadi KENYATAAN.

-active11-

Tuesday, October 14, 2008

Kuala Lumpur - Tronoh - Lumut


Kuala Lumpur - Tronoh - Lumut


Salam,

Episod baru hidupku.Puas menanti, akhirnya aku dikurnia nikmat yang tak terhingga,- Alam perkerjaan. Nah terbentang lapangan nan luas di mukim Lumut aku mencampakkan diri dibawah terik mentari.


Hariku disambut lembaga besi tegap berpakaian kuning yang begitu asing juga tugasan menghadiri sesi taklimat keselamatan wajib untuk 'orang baru' yang punya idea sifar. Aku teruja dengan cabaran baru ini yang bakal mengerah seluruh keringatku demi sesuap rezeki.

Ya..aku mencari rezeki halal dimuka bumi Tuhan yang Esa.


Motivasiku jelas mengejar cita-cita yang dikejar sekian lama, aku bagai tak sabar-sabar memulakan perjalanan jauh dalam konteks seorang pekerja, makan gaji dan penuh dengan etika kerja (macam la aku seorang yang beretika sangat heheh). Persoalan pertama yang muncul daripada Bos ialah, adakah aku mampu berhadapan dengan semua ini? Tanpa ragu-ragu aku sahut tanda soal itu dengan penuh iltizam juga semangat. Tapi kelakuan juga attitude juga yang bakal memantulkan iltizamku pada realiti. Aku berdoa agar setiapnya dipermudahkan.


Perjalanan luas sekitar lapangan berhabuk memaksa kakiku kejang. Aku terjelepuk disurau kala solat Zohor dihentam sengatan panas mentari dan kaki yang tak mampu berdiri. Barangkali ini petanda aku tidak cukup bersedia menghadapi semua ini. Tapi aku yakin, langkahku tetap terus berjalan andainya aku berusaha sedayanya. Aku tinggalkan Kuala Lumpur, singgah di Tronoh dan terus ke Lumut demi menggapai impianku juga sesuap rezeki Allah.


Hakikatnya, pandanganku pada hakikat pekerjaan ini berubah sekelip mata. Pekerjaan ini perlukan kesabaran, fizikal dan mental utuh, juga ia bukan tugas yang popular bak selebriti. Tanggalkan tali leher kemas, perhiasan ribuan ringgit dan ego dalam diri. Sebaliknya, sarungkan sepatu berat, bertopi keras, juga sedia untuk kotorkan lengan juga lengkapkan diri dengan toleransi dan semangat berpasukan tinggi.


Doakan semoga aku terus tabah.

-active11-

Wednesday, October 1, 2008

Salam Dari Kota Damansara

Salam semua.

Syukur sempat menitip sedikit sempena Syawal ini. Aku ingin mengucapkan Salam Aidilfitri buat semua. Andai ada kekhilafan lampau, sudi-sudikanlah kalian memaafkan diri yang serba kurang ini.

Sama-samalah kita memeriahkan suasana lebaran ini dengan ukhwah islamiah, tradisi berziarah dan bermesra sesama kita. Indah suasana hari raya dengan ucapan selamat dan saling bermaafan sesama insan. Aku mendoakan perjalananku sentiasa ceria dan selamat sempena hari raya ini. Kenangan bersama Opah haji di Pasir Salak dan ketenangan Kuala Kangsar begitu menggamit hati. Insya Allah aku segera ingin pulang bermesra dengan sanak saudara di kampung. Doakan perjalananku sekeluarga selamat insyaAllah.
Selamat Hari Raya Aidilfitri,
Maaf zahir batin.
-active11-

Tuesday, August 19, 2008

Convo 2008


Salam semua,


Entri ini barangkali sekadar meyampaikan berita. Aku ingin menjemput kalian memeriahkan Convo UTP ke-8 pada hujung minggu ini. Disempatan ini juga aku mengucapkan tahniah pada semua graduan UTP juga kenalan senior & junior yang banyak membantu sepanjang pengajianku di bumi Tronoh.


Tidak dapat disangkal rasa teruja ingin kembali ke tempat yang memberi sejuta erti dalam hidup. Tempat jatuh lagikan dikenang, inikan pula tempat mencanai ilmu. Kepingin aku bertemu kenalan lama yang sama-sama berjuang sejak lima tahun lepas. Kalian besar ertinya buat aku. Semoga ukwah kita berkekalan hendaknya. Buat para pensyarah dan semua yang membantu, aku sekali lagi mengucapkan terima kasih atas sokongan kalian.

Semoga bertemu lagi.

-active11-

Sunday, July 27, 2008

Aku Kembali..

Salam semua.

Alhamdulillah, tergerak hati juga aku ingin menulis dan berkongsi kembali setelah sebulan tidak bersua. Bukan sibuk, bukan juga pergi tak kembali, tetapi culas untuk menulis tambahan pula kekeringan idea yang benar-benar kontang.

Barangkali kalian tertanya-tanya dimana aku sejak sebulan lepas. Aku masih dikota yang penuh sesak ini-Kuala Lumpur-. Cuma kali ini bernafas bak insan yang lepas dari kekangan buku, tetapi tersekat dek hambatan ringgit yang mencekak erat. Realiti seorang penganggur hehehe. Aku masih berikhtiar mencari sesuap rezeki di bumi Allah yang luas ini, barangkali tuah masih belum menyebelahi aku pada waktu ini. (Bunyi macam orang frust je heheheh). Biarlah, sekurangnya aku masih mengisi benak hati dengan ilmiah dan sangat gembira meneman mama ku dirumah. Punya masa membelek buku lama di rak penuh habuk, mengemas rumah seakan jadi rutin harian, juga bercakap dengan 'sahabat nabi' saban hari. Aku gembira namun hati tetap duka menanti 'tugas lebih mencabar'.

Aku tinggalkan cerita penganggurku yang belum bernokhtah. Semoga cepat ia berakhir insyaAllah. Kali ini aku sempat mengambil sedikit ruang berkunjung ke The Malaysia International Lanscape & Garden Festival 2008 atau LAMAN 2008 yang bertempat di Taman Tasik Perdana. Kunjungan kali merupakan manifestasiku pada angan-angan memiliki ruang hijau dirumah sendiri kelak. Tertancap dengan pelbagai lanskap rekaan kontemporari juga tradisional, terpesona sebenarya melihat warna-warni flora yang rapi mewujudkan suasana santai damai. Manakan tidak, semua penyertaan begitu memikat mata, ingin saje memiliki semuanya seberapa segera. Dua jam menikmatinya, tak terasa pedang masa pantas mencantas. Semoga semuanya tidak sia-sia.

Tahniah pada semua pihak atas penganjuran LAMAN 2008, selain menonjolkan khasiat alam tropika juga susun atur terkini, aku mengakui festival ini menjadi platform menyemai minat kanak-kanak terhadap alam sekitar. Mereka berlari riang dalam taman hijau, punya ruang berinteraksi dengal alam yang kian sempit. Aku pula disabit rasa girang melihat telatah mereka. (hehe aku dah dekat sampai seru kot). Maka aku kembali...berfikir.

p/s : *sahabat nabi = kucingku yang bernama Kaka.
-Active11-

Tuesday, June 10, 2008

Alhamdulillah & Terima Kasih


Syukur Alhamdulillah.

Tanggal keramat 11 Jun terpateri kekal dalam ingatan. Ini merupakan entri terakhir aku sebelum bergelar graduan. Ya , aku mempergunakan lima tahun umurku di bumi Tronoh mencari entiti diri buat bekalan masa hadapan. Bila tiba dipenghujung jalan, perpisahan tidak dapat dielakkan, aku terpaksa melangkah pergi mencari haluan sendiri, satu desa yang tidak diketahui hujungnya. Desa yang penuh ranjau dan tekanan,-Alam pekerjaan-.

Saat ini aku di 'flashback' dengan seribu satu kenangan. Dari alam suai kenal dengan dunia kejuruteraan, berkenalan dengan sahabat dan para pensyarah yang berbagai ragam, ber'kampung' di IRC setiap musim peperiksaan, juga bertemu pilihan hati yang saban waktu aku berdoa untukny agar dijodohkan bersama, insyaAllah. Semuanya bakal terpahat kemas dalam ingatan yang mencorak masa depan aku. Aku beroleh kematangan berkat usahaku mencanai ilmu di UTP.

Aku mengambil kesempatan ini untuk melahirkan rasa syukur dan jutaan penghargaan buat semua insan yang berdiri teguh sepanjang pengajianku.

Dititip khas buat,
Hj. Mokhtar Hj. Mohamed
Hjh. Nor Asiah Hj. Aris
Umairah Arina Hj. Mokhtar
Umairah Izzati Hj. Mokhtar

Terima kasih atas pengorbanan dan doa yang tidak jemu-jemu daripada abah-mama. Buat masz dan izzati, diharapkan kalian menjadi lebih berjaya dan jauh lebih baik berbanding abg.

Buat,
Hj. Aris Jamali
Hjh. Khadijah Ngah Abdullah
Hj. Nor Azmi Saparuddin Hj. Aris
Nor Azri Shahril Hj. Aris

Buat atuk-opah yang merencah hidupku dengan nasihat dan dorongan semangat. Setiap kata-kata mereka menjadi mutiara dalam hidupku. Semoga aku sempat berbakti biarpun hanya dipenghujung usia mereka. Juga buat uncle yang membakar perjuanganku sejak daripada kecil. Sumbangan Angah&Acu juga tidak ternilai harganya.

Istimewa buat,
Miss Nur Syahadah Mohd Sapli
Sarimah Md Ali
Che Abas

Mereka insan yang penuh dengan maaf dan peluang,biarpun aku juga penuh dengan khilaf. Insan yang membuka juangku pada dimensi yang lebih luas. Terima kasih atas segalanya.

Dikesempatan ini aku ingin mengucapkan jutaan tahniah buat rakan-rakan seperjuangan (MAY 2003) yang telah menamatkan pengajian dan bakal menempuh alam baru juga buat para guru yang mendidik dan mengasuh kami. Andai kekurangan melingkari sahsiah juga perilaku aku, maka lengakapkanlah dengan kemaafan. Aku mencari keredaan kalian demi kelana sebuah perjuagan (cewah, macam puisi la pulak heheh).

Gembira+Sedih,
-active11-

Friday, June 6, 2008

Menuju Puncak..


Menuju puncak, Gemilang cahaya~~
Mengukir cita seindah rasa~~
Menuju puncak, impian di hati~~
Bersama janji kawan sejati~~
Pasti berjaya di Akademi Fantasi ...o ...yeaaah


Barangkali sebilangan kita sangat teruja bila mendengar bait-bait lagu AF diatas. Barangkali juga bayangan indah tersebut mengaburi realiti yang sebenarnya pahit..susah...sukar ditafsir dan berbagai ragam. Andaikan seorang penuntut akedemi fantasia berguru selama lima bulan, bayangkan pula pelajar di universiti berguru selama lima tahun. Pelbagai pengalaman disisip buat bekalan lautan REALITI yang kejam.

Aku juga semakin menuju puncak, kemuncak kepada pengabdian diri pada khazanah ilmu Allah yang Maha Luas.Mencari diri dalam lapangan kejuruteraan yang begitu asing awalnya, namun beroleh kalapangan bila mana masa semakin suntuk. Alhamdulillah, aku fikir aku berjaya melawan biarpun dulu aku hanyut. Berdiri dikalangan rakan-rakan lain, aku kerdil. Namun bukan itu yang Allah akan nilai akhirnya, tapi sumbangan dan tabungan pahala kita nanti yang menjadi pengadil diakhirat sana. Aku akur, akhiran sebuah pengajian bukan bererti kejayaan digemgaman tangan. Bahkan jauh lebih penting dari itu. Akhiran sebuah pengajian bererti terbeban tugas sebagai khalifah matang dimuka bumi Tuhan. Menjadi satu keseronokan aku mensyukuri sebuah pengakhiran, tapi menjadi kewajiban aku melaksanakan amanah diberi.

Semoga aku terus punya ilham untuk memikirkan hala tuju diri. Hari-hari akhir diUTP ini akan diguna sebaiknya untuk melihat kedalam diri, merenung kembali proses kematangan untuk lima tahun berlalu. Semoga aku beroleh manfaat dari umurku di Tronoh insyaAllah.


-active11-

Friday, May 16, 2008

Entri Emosi

Salam semua.

-Minggu Pertama musim Exam-
Seperti biasa, aku raikan Jumaat dengan penuh nikmat syukur. Tambahan pula dah selesaikan dua paper termasuk semalam. Bagaimana? Susah nak jawab persoalan tersebut, yang penting aku sudah berusaha dan berikhtiar. Selanjutnya, berTAWAKKAL. Pengalaman menjadi guru terbaik, tidak semua yang aku idamkan akan didakap mudah. Tapi aku puas mencuba sebaik mungkin untuk musim peperiksaan kali ini. Maka hari ini aku memanjakan diri dengan membaca akhbar dan majalah sepanjang hari + bersenam sampai letih (nampak sangat tak berapa fit hehe). Minggu kedua dan seterusnya bakal menanti insyaAllah.


Gambar(turutan daripada atas) :
1) Pn. Rozie Che Deris - ibu angkat merangkap Guru Homeroom Tawadhu bersama kawan-kawan di MRSM Muar.
2) Tuan Ngarif Tukiman - cikgu fizik yang cukup sabar melayan kerenah empat jejaka idaman Malaya yang tak berapa handsome hehe ;)
3) Bersama mama di majlis hari penyampaian hadiah di darjah tiga. Inilah hari paling bersejarah, kali pertama naik pentas menerima hadiah. Lepas itu, selalu dah naik pentas terima hadiah. Terima kasih mama, berkat doa mama.

-Guru-
Berbalik pada terma 'Guru', aku tertarik dengan khutbah Jumaat Ustaz Dawi Cahyono kala tadi. Esakan beliau mendoakan sejahtera guru menguis 'hati batu' aku. Ya benar, aku ikut emosi mengenangkan perjuangan dilapangan universiti hampir dipenghujung waktu. Namun semua ini bermula dengan didikan para guru. Meniti memori, aku bersetuju juga merelakan jika sebahagian kita memartabatkan guru bagai membakar diri demi menerangi kehidupan orang lain.

Jika tidak dengan 'deraan' Atuk membuat latih tubi matematik disekolah rendah, mungkin aku tidak betah mengira sekarang. Jika tidak dengan ugutan cikgu untuk menghantar aku ke Hendry Gurney didarjah tiga, mungkin aku dilapangan berbeza sekarang. Jika tidak dengan rotan Ustaz Kassim (Warden asrama MRSM Muar) *aku ahli lembaga disiplin pelajar yang sanggup fly untuk ke machine ATM hehe ;) mungkin aku terus hanyut sekarang. Jika tidak dengan tunjuk ajar para pensyarah di UTP sekarang, mungkin langkah aku tidak sepanjang ini sekarang. Jika tidak dengan didikan abah & mama, mungkin aku tidak pandai menghargai jasa orang sekarang. Itu hanya sekelumit kenangan manis aku bersama insan yang bergelar guru. Jujurnya, setiap mereka punya sesuatu yang aku dambakan. -Ilmu dan bimbingan- Aku tidak hanya terhutang budi dengan mereka, bahkan terhutang segalanya kerana meraka benar mengasuh aku agar menjadi manusia berguna. Setiap doa mereka membawa keberkatan, setiap ajaran meraka membawa kerahmatan.

-entri emosi-
Mungkin ini entri emosi, tapi aku ikhlas menyatakan kebanggaan aku diasuh oleh sekalian guru berbakat. Andai mereka masih ada, tahniah dan jutaan terima kasih atas segala tunjuk ajar juga akan aku minta mereka teruskan usaha dan tanamkan keihklasan serupa. Andai mereka dijemput Allah sebelum aku, Al-Fatihah pengganti diri. Maafkan aku, anak muridmu yang penuh kekhilafan meniti hari-hari penuh dugaan.
Sebelum mengundur diri, aku baitkan rangkap pantun indah ini buat penyejuk hati.

Pisang emas dibawa belayar,
Masak sebiji diatas peti,
Hutang emas boleh dibayar,
Hutang mati dibawa mati.

Cantik bukan? al-Fatihah.
Selamat Hari Guru.

-active11-

Saturday, April 26, 2008

Mengisi Waktu



Salam,
Saban hari pagi disambut kicau burung dari luar, barangkali ada bersarang atau datang bertandang. Alhamdulillah, tidaklah sunyi sangat meniti hari-hari semalam dan akan datang. Pagi ini penuh ranjau, tugasan sepanjang hari agaknya. Mengeluh-menulis, dua perkara berbeza yang membawa jutaan erti buat aku. Menulis untuk berkongsi, mengeluh untuk menyendiri. Berbeza bukan? Biarlah, 15minit berkongsi memberi semacam tonik untuk berkerja 15jam nanti. Semoga benar :)

Petroleum Exploration (Project + Presentation)
Engineers in Society (Project Documentation)
Operations Management (Presentation)
Semuanya perlu perhatian dan tindakan segera. Aku mencari kalam untuk mencoret semua isi pagi ini. Insya-Allah, menjelang malam semuanya bakal selesai.

26April08 (Semalam)
Engagement Session Final Year Student with,
Datuk Ainon Marziah Wahi
Vice President, HRM, Petronas.

Wow, sesi hangat dengan ruang meja penuh hidangan ;) Terima kasih daun keladi untuk panel yang sudi hadir juga buat Puan Ainon (aku selesa berPuan dari berDatuk-datuk). Sesi ini lebih sesuai jika dikatakan sesi Iklan Kerja Petronas, tetapi mencari kekuatan dibalik perkongsian mereka benar menimbulkan keinsafan. Aku terhutang semuanya dengan agama-bangsa-negara, kelak aku perlu mencari medium sesuai untuk membayar semuanya. Bagaimana?

Alternatif
Aku punya alternatif / tujuan / matlamat untuk kembara diri. Berkhidmat penuh dedikasi buat pasukan yang memberi peluang benar menggamit aku untuk bekerja keras. Aku perlu buktikan pada semua (terutamanya Abah) aku suka akan cabaran. Didikan perajurit yang aku terima (rambut aku juga sentiasa pendek) memberi aku ruang untuk berfikir baik-buruk kata Abah. -Ternyata semuanya benar belaka- Aku juga akan seperti dia, mencuba cemerlang untuk membangun agama dan bangsa, medium kami berbeza namun matlamat kami tetap sama. Nah terhidang peluang luas, aku mahu buktikan aku juga setanding dia biarpun takkan lebih baik daripada Abah. Ayuh Petronas, berikan aku cabaran, akan aku buktikan aku mampu.

Bekerjalah seolah-olah hendak hidup seribu tahun lagi,
dan Beramallah seolah-olah hendak mati esok hari.
Contoh tauladan Rasulullah SAW sepanjang hayat Baginda, semoga kita beroleh ikhtibar dengannya insyaAllah.

Sekian.
-active11-

Tuesday, April 15, 2008

Motivasi Diri


Salam.
Wah..hampir tiga bulan tidak berkongsi cerita. Moga semua baik-baik belaka insyaAllah. Aku mencuri masa dibalik kekangan thesis yang merimaskan. Makan thesis - tidur thesis, itulah ragam seluruh warga UTP menjelang saat perjuangan terakhir. Ralitnya aku dengan FYP ;)


-Motivasi-
Langkah panjang ke Blok23 sungguh berbaloi semalam. Pertemuan dengan Dr. Mumtaj berhasil. Membincang hal FYP yang memberi aku ruang berlapang dada, Alhamdulillah.
Sesi motivasi percuma (mulanya hanya untuk bertanyakan soalan Modern Control heheh) bersama Pak Herman (Prof. Herman) pula sangat mengujakan. Satu jam yang penuh falsafah membikin aku benar berfikir tentang kehidupan. Selepas sehari-seminggu-sebulan-setahun dan akan datang. Kemana hala tuju insan yang penuh kekhilafan melangkah nanti. Sebalik kesilapan, tetap ada seribu satu pengajaran. Banyak yang kami bincang bersama, akademik hingga hal rumpun bangsa, -semuanya dibahas matang oleh kami. Dapat juga aku melontar/bertukar idea dengan Prof. Herman hehe. Tetapi, 'ole-ole motivasi' yang diberi sangatlah aku hargai. Balik asrama dengan penuh azam meniti hari-hari akhir di bumi UTP. "Syukurlah, masih ada insan budiman yang sudi menegur salah silap aku"

Buat rakan taulan di Utp, jika kalian mahukan motivasi,
silalah ketemu Pak Herman di Blok 23 hehehe.





-FC. Royale-
Coretan kali ini tidak lengkap jika tiada appreciation untuk para pemain FC.Royale dan RohirrimFC, tahniah kerana kalian+aku layak untuk pusingan seterusnya. Harus diingat,walaupun masing-masing punya komitmen akademik tetapi tugas menjaga jasmani juga sebahagian daripada ibadah. Bonusnya, FC. Royale sebahagian sejarah antara 8 kelab terbaik di UTP. (hehe akhirnya termakbul ditahun akhir pengajian) . Dapat juga aku release tension saban petang dengan gelagat kawan-kawan di padang heheh. Semoga kita menjadi terbaik hendaknya. Enjoy our final semester together friends!!!

active_11

Thursday, January 31, 2008

Kompas Diri


Kompas Diri

Bertemu semula alhamdulillah.

Indah, pagi Jumaat menyimbah bumi Tronoh.
Sederhana memancar cahaya, barangkali menyeru aku (barangkali kalian juga) berfikir tentang kejadian alam,kebesaranNya. Ada masanya terang dan keras membakar, sederhana bagai hari ini, juga suram membawa hikmah hujan menyimbah bumi. Aku tefikir panjang - Syukur-

-Menanti Sabtu-
Esok perjalanan aku berubah lagi, insyaAllah. Kali ini kompas diri bermula lagi, lebih 'precise' kalau aku katakan, Kompas Kerjaya. Perjalanan diri menjejak dunia yang satu lagi (awas !! bukan ke gerbang perkahwinan) tapi dunia pekerjaan bakal bermula.

2 Februari : Akan diadakan sesi intervention pada pemegang amanah tahun akhir di UTP.Semuanya akan bermula, awalnya hanya berperang dengan kertas & soalan, menyusul kemudian akan di'interview' pula dengan warga HR Petronas. Gelisah aku dibuatnya kali ini,-ketawa sendiri-

Apa nak dibuat eh?
Jalan selamat yang paling berkat, doa mama&abah. Aku mencari tenang dengan suara mereka berdua, juga atuk&opah yang tidak pernah jemu mendoakan kejayaan aku sejak kecil. Tekadku untuk membalas kepercayaan mereka, juga menerbitkan rasa gembira buat semua. Kesempatan singkat ini, aku mengambil sedikit ruang untuk mengucapkan selamat maju jaya kepada rakan-rakan di UTP. Doakan kejayaan kita bersama insyaAllah. Istimewa buat Umi, lakukan yang terbaik. Doa dan tawakkal untuk esok yang lebih cerah.

Salam.
tulisan singkat
-active_11-

Tuesday, January 22, 2008

Semester Baru



Hari ketiga Minggu Pertama
Cuti Sehari.

Salam semua.

Alhamdulillah..semester baru telah bermula.
Aku mengerah keringat kehulu-kehilir mengisi slot lectures yang menyesakkan minda. Barangkali terkesima sekejap mengenangkan cuti semester yang indah, benar-benar indah. Cuma FYP sahaja yang mengisi sehari-hari. Wadah semester akhir ini akan aku isi sewajarnya, itu janji aku pada diri sendiri.

Stamina dikerah sekeras-kerasnya.
Mujur aku sempat beriadah saban petang ditepi tasik dan padang bola. Tidak pun setaraf atlit profesional, cuma riadah untuk menjaga kesihatan dan menghilangkan STRES (juga lemak tepu yang terkumpul). Habuan jangka pendek, aku tidak mengah dalam pengajian minggu pertama semester akhir ini. Semoga berkekalanlah hendaknya nikmat ini insyaAllah.

Perjuangan belum selesai,
Semester akhir ini menuntut aku lebih fokus dalam berperang dengan buku-Ilmu. "Bukan mudah nak berjaya, namun bukan susah juga untuk gagal !!" Teringat nasihat Pn. Adibah (MJSC) sebelum aku melangkah keluar untuk hari terakhir di Muar dulu. Kenangan lalu membikin aku terus tabah menempuh ranjau pengajian tahun akhir (teringat kawan-kawan lama juga, bagaimanakah kalian agaknya sekarang?)


Aku membayangkan semester yang singkat tambah pula dengan kekangan FYP. Tiada alasan untuk terlalu bersenang-lenang kali ini. Semuanya kena bergegas pantas tanpa ada kompromi. Aku juga harus sentiasa bersedia dan lebih fleksibel dengan semua keadaan.

Modern Control Engineering
Engineers In Society (EIS)
Operations Management
Facilities Engineering, Transport & Storage

Pengajian ini menuntut pengorbanan tinggi. Dua hari pertama nampak semuanya baik-bagus, tapi awas, ilmu pengetahuan bisa mencantas insan yang culas. Aku bakal beradu tenaga dengan pelajar Mechanical&Civil untuk Facilities, mengkoreksi diri untuk Operations Management, berperang semula dengan matematik dan berjenis-jenis theorem dalam Modern Control Engineering. EIS pula lebih getir, mengetuai lima-bakal-jurutera memaksa aku mengasah semula public relations (PR) aku yang sudah sedia berkarat. Namun aku yakin aku boleh dan terus mencuba memberi yang terbaik untuk setiap perkara. Selain usaha, aku harus dekatkan diri padaNya. Dia yang menulis semua yang tersurat dan tersirat. Semoga aku terus tabah insyaAllah.

-active_11-

Friday, January 11, 2008

Dimana Adik Sharlinie?



Salam 2008
Sedar atau tidak, kita melangkah masuk minggu ketiga 2008. Muharram juga semakin menginjak matang walaupun kita baru melalui hari ketiga 1429 Hijriah. Tanpa sedar, sebahagian warga Malaysia masih ditakuk lama, berpegang pada realiti kehidupan yang kosong-sunyi.

Aku mengomel?
Benar, aku mengomel sendiri.
Tidak lama selepas Kes Adik Nurin, Malaysia tetap sama. Goncang lagi dengan Kes Adik Sharlinie. 2007 & 2008, seperti tiada bezanya, kita mudah 'terhantuk baru tergadah' tetapi tiada kesan ekstrim atas semua yang berlaku. Bukan aku mencari titik salah insan lain, apatah lagi ingin menambah kesengsaraan-kerisauan keluarga Adik Sharlinie, namun entri ini aku sisip untuk memulas telinga sendiri (juga pembaca) agar segera berubah menjadi lebih baik. Biar segenap bidang, wajar aku menjadi lebih baik. Kepada diri sendiri, keluarga dan masyarakat, membetulkan kepincangan adalah tanggungjawab bersama. Walaupun hal ini mungkin remeh -Pengawasan Kanak-Kanak-, tetapi implikasinya besar kepada masyarakat hari ini yang semakin rakus mengejar kemewahan sampai lupa nikmat lahirnya anak-anak sebagai penghias kehidupan.

Menyentuh hal - Pengawasan Kanak-Kanak-,
Aku sedar mereka perlukan pengawasan sewajarnya kerana kelemahan yang Allah ciptakan untuk mereka, proses membelajaran yang memakan masa lama untuk matang memaksa warga masyarakat bersabar akan kerenah adik-adik kecik ini. Kehilangan Adik Sharlinie pada 10 Jan jam 11 pagi selepas bermain ditaman permainan tanpa ditemani ahli keluarga yang lebih dewasa sebenarnya mengundang penjenayah. Adalah menjadi kemestian seorang kanak-kanak ditemani dewasa biar dimana pun si kanak-kanak tadi melangkah, ke pasar malam, taman permainan, mahupun hanya untuk melintas jalan. Nasi sudah menjadi bubur, semoga masing-masing dapat meneliti hal ini dengan lebih mendalam. Aku si pemerhati yang cuba untuk memperbetulkan diri kerana aku juga dikelilingi insan-insan kecil yang penuh semangat menerokai dunia mencabar.


Dimana Adik Sharlinie?
Buat keluarga Adik Sharlinie, semoga ketabahan mengiringi kalian dalam menghadapi dugaan ini. Kuatkan semangat serta ikhtiar bahkan banyak berdoa pada Allah kerana Dia maha mengetahui segalanya. Suka aku katakan, doaku juga untuk Adik Sharlinie dan ikhtiarku berjalan melingkupi seganap mana aku melangkah terutama di Tronoh dan Ipoh. Aku berharap episod ini berakhir dengan nota positif.

Buat aku, peganglah pada perkara yang mudah,
Andai kau seorang Lelaki, jadilah seorang Lelaki yang Pelindung,
Andai kau seorang Wanita, jadilah seorang Wanita yang Penyayang.


Insan yang penuh kekhilafan.
-Mengomel-