Thursday, January 31, 2008

Kompas Diri


Kompas Diri

Bertemu semula alhamdulillah.

Indah, pagi Jumaat menyimbah bumi Tronoh.
Sederhana memancar cahaya, barangkali menyeru aku (barangkali kalian juga) berfikir tentang kejadian alam,kebesaranNya. Ada masanya terang dan keras membakar, sederhana bagai hari ini, juga suram membawa hikmah hujan menyimbah bumi. Aku tefikir panjang - Syukur-

-Menanti Sabtu-
Esok perjalanan aku berubah lagi, insyaAllah. Kali ini kompas diri bermula lagi, lebih 'precise' kalau aku katakan, Kompas Kerjaya. Perjalanan diri menjejak dunia yang satu lagi (awas !! bukan ke gerbang perkahwinan) tapi dunia pekerjaan bakal bermula.

2 Februari : Akan diadakan sesi intervention pada pemegang amanah tahun akhir di UTP.Semuanya akan bermula, awalnya hanya berperang dengan kertas & soalan, menyusul kemudian akan di'interview' pula dengan warga HR Petronas. Gelisah aku dibuatnya kali ini,-ketawa sendiri-

Apa nak dibuat eh?
Jalan selamat yang paling berkat, doa mama&abah. Aku mencari tenang dengan suara mereka berdua, juga atuk&opah yang tidak pernah jemu mendoakan kejayaan aku sejak kecil. Tekadku untuk membalas kepercayaan mereka, juga menerbitkan rasa gembira buat semua. Kesempatan singkat ini, aku mengambil sedikit ruang untuk mengucapkan selamat maju jaya kepada rakan-rakan di UTP. Doakan kejayaan kita bersama insyaAllah. Istimewa buat Umi, lakukan yang terbaik. Doa dan tawakkal untuk esok yang lebih cerah.

Salam.
tulisan singkat
-active_11-

Tuesday, January 22, 2008

Semester Baru



Hari ketiga Minggu Pertama
Cuti Sehari.

Salam semua.

Alhamdulillah..semester baru telah bermula.
Aku mengerah keringat kehulu-kehilir mengisi slot lectures yang menyesakkan minda. Barangkali terkesima sekejap mengenangkan cuti semester yang indah, benar-benar indah. Cuma FYP sahaja yang mengisi sehari-hari. Wadah semester akhir ini akan aku isi sewajarnya, itu janji aku pada diri sendiri.

Stamina dikerah sekeras-kerasnya.
Mujur aku sempat beriadah saban petang ditepi tasik dan padang bola. Tidak pun setaraf atlit profesional, cuma riadah untuk menjaga kesihatan dan menghilangkan STRES (juga lemak tepu yang terkumpul). Habuan jangka pendek, aku tidak mengah dalam pengajian minggu pertama semester akhir ini. Semoga berkekalanlah hendaknya nikmat ini insyaAllah.

Perjuangan belum selesai,
Semester akhir ini menuntut aku lebih fokus dalam berperang dengan buku-Ilmu. "Bukan mudah nak berjaya, namun bukan susah juga untuk gagal !!" Teringat nasihat Pn. Adibah (MJSC) sebelum aku melangkah keluar untuk hari terakhir di Muar dulu. Kenangan lalu membikin aku terus tabah menempuh ranjau pengajian tahun akhir (teringat kawan-kawan lama juga, bagaimanakah kalian agaknya sekarang?)


Aku membayangkan semester yang singkat tambah pula dengan kekangan FYP. Tiada alasan untuk terlalu bersenang-lenang kali ini. Semuanya kena bergegas pantas tanpa ada kompromi. Aku juga harus sentiasa bersedia dan lebih fleksibel dengan semua keadaan.

Modern Control Engineering
Engineers In Society (EIS)
Operations Management
Facilities Engineering, Transport & Storage

Pengajian ini menuntut pengorbanan tinggi. Dua hari pertama nampak semuanya baik-bagus, tapi awas, ilmu pengetahuan bisa mencantas insan yang culas. Aku bakal beradu tenaga dengan pelajar Mechanical&Civil untuk Facilities, mengkoreksi diri untuk Operations Management, berperang semula dengan matematik dan berjenis-jenis theorem dalam Modern Control Engineering. EIS pula lebih getir, mengetuai lima-bakal-jurutera memaksa aku mengasah semula public relations (PR) aku yang sudah sedia berkarat. Namun aku yakin aku boleh dan terus mencuba memberi yang terbaik untuk setiap perkara. Selain usaha, aku harus dekatkan diri padaNya. Dia yang menulis semua yang tersurat dan tersirat. Semoga aku terus tabah insyaAllah.

-active_11-

Friday, January 11, 2008

Dimana Adik Sharlinie?



Salam 2008
Sedar atau tidak, kita melangkah masuk minggu ketiga 2008. Muharram juga semakin menginjak matang walaupun kita baru melalui hari ketiga 1429 Hijriah. Tanpa sedar, sebahagian warga Malaysia masih ditakuk lama, berpegang pada realiti kehidupan yang kosong-sunyi.

Aku mengomel?
Benar, aku mengomel sendiri.
Tidak lama selepas Kes Adik Nurin, Malaysia tetap sama. Goncang lagi dengan Kes Adik Sharlinie. 2007 & 2008, seperti tiada bezanya, kita mudah 'terhantuk baru tergadah' tetapi tiada kesan ekstrim atas semua yang berlaku. Bukan aku mencari titik salah insan lain, apatah lagi ingin menambah kesengsaraan-kerisauan keluarga Adik Sharlinie, namun entri ini aku sisip untuk memulas telinga sendiri (juga pembaca) agar segera berubah menjadi lebih baik. Biar segenap bidang, wajar aku menjadi lebih baik. Kepada diri sendiri, keluarga dan masyarakat, membetulkan kepincangan adalah tanggungjawab bersama. Walaupun hal ini mungkin remeh -Pengawasan Kanak-Kanak-, tetapi implikasinya besar kepada masyarakat hari ini yang semakin rakus mengejar kemewahan sampai lupa nikmat lahirnya anak-anak sebagai penghias kehidupan.

Menyentuh hal - Pengawasan Kanak-Kanak-,
Aku sedar mereka perlukan pengawasan sewajarnya kerana kelemahan yang Allah ciptakan untuk mereka, proses membelajaran yang memakan masa lama untuk matang memaksa warga masyarakat bersabar akan kerenah adik-adik kecik ini. Kehilangan Adik Sharlinie pada 10 Jan jam 11 pagi selepas bermain ditaman permainan tanpa ditemani ahli keluarga yang lebih dewasa sebenarnya mengundang penjenayah. Adalah menjadi kemestian seorang kanak-kanak ditemani dewasa biar dimana pun si kanak-kanak tadi melangkah, ke pasar malam, taman permainan, mahupun hanya untuk melintas jalan. Nasi sudah menjadi bubur, semoga masing-masing dapat meneliti hal ini dengan lebih mendalam. Aku si pemerhati yang cuba untuk memperbetulkan diri kerana aku juga dikelilingi insan-insan kecil yang penuh semangat menerokai dunia mencabar.


Dimana Adik Sharlinie?
Buat keluarga Adik Sharlinie, semoga ketabahan mengiringi kalian dalam menghadapi dugaan ini. Kuatkan semangat serta ikhtiar bahkan banyak berdoa pada Allah kerana Dia maha mengetahui segalanya. Suka aku katakan, doaku juga untuk Adik Sharlinie dan ikhtiarku berjalan melingkupi seganap mana aku melangkah terutama di Tronoh dan Ipoh. Aku berharap episod ini berakhir dengan nota positif.

Buat aku, peganglah pada perkara yang mudah,
Andai kau seorang Lelaki, jadilah seorang Lelaki yang Pelindung,
Andai kau seorang Wanita, jadilah seorang Wanita yang Penyayang.


Insan yang penuh kekhilafan.
-Mengomel-