Sunday, October 19, 2008

++Bukan Larian Biasa++Samsung innov8 Run++


Salam semua.
Aku mencari tenaga dalam kelelahan minggu yang panjang. Meraba kekunci laptop yang begitu berjasa sepanjang pengajianku benar memberi aku kelapangan. Kelapangan yang dinikmati hanya pada hujung minggu. Aku ditempias virus 'workoholic' daripada lapangan berdebu Pelabuhan Lumut.


Mujur Ahad muncul menyelamatkan jiwa yang ingin enjoy. Dapatlah aku memberikan ruang buat mindaku untuk isu-isu semasa yang sarat dengan politik dan ekonomi yang meletus serata dunia. Semakin ditancap, makin berat kepala berputar dengan arus dunia yang seakan-akan dilanda badai besar.

Aku melewati berita semasa dengan meneliti pula 'gadget' terbaru di pasaran. Aku begitu tertarik dengan Samsung innov8 canggih yang memenuhi citarasa setiap individu sofistikated masa kini. Rekaannya berkeupayaan tinggi bahkan ia menjadi impian aku untuk memilikinya. Nak atau tidak, aku telah meletakkan satu impian. Ia kekal menjadi impian, namun impian mampu dikejar jadi kenyataan.

Samsung innov8 Run

Rangka promosi innov8 merangkumi sesi Samsung innov8 Run. Aku melihat ini platform terbaik untuk menguji 'chemistry' aku bersama innov8 disamping dapat meluangkan masa bersama 'pecinta gadget' yang lain bertukar idea dan maklumat. Barangkali sesi ini bakal menambat hatiku untuk membuat pelaburan memilikinya. Ingat, aku punya impian heheh. Tambahan pula, aku suka mencabar keupayaan sendiri. Dibantu dengan peranti terbaik dan semangat kerjasama berkumpulan, aku pasti menghasilkan kerja terbaik untuk acara itu nanti. Mana tahu, aku mungkin bertuah dapat memiliki innov8 secara percuma diakhir acara.Hehehe.. aku memasang angan-angan dan ia mungkin akan jadi KENYATAAN.

-active11-

Tuesday, October 14, 2008

Kuala Lumpur - Tronoh - Lumut


Kuala Lumpur - Tronoh - Lumut


Salam,

Episod baru hidupku.Puas menanti, akhirnya aku dikurnia nikmat yang tak terhingga,- Alam perkerjaan. Nah terbentang lapangan nan luas di mukim Lumut aku mencampakkan diri dibawah terik mentari.


Hariku disambut lembaga besi tegap berpakaian kuning yang begitu asing juga tugasan menghadiri sesi taklimat keselamatan wajib untuk 'orang baru' yang punya idea sifar. Aku teruja dengan cabaran baru ini yang bakal mengerah seluruh keringatku demi sesuap rezeki.

Ya..aku mencari rezeki halal dimuka bumi Tuhan yang Esa.


Motivasiku jelas mengejar cita-cita yang dikejar sekian lama, aku bagai tak sabar-sabar memulakan perjalanan jauh dalam konteks seorang pekerja, makan gaji dan penuh dengan etika kerja (macam la aku seorang yang beretika sangat heheh). Persoalan pertama yang muncul daripada Bos ialah, adakah aku mampu berhadapan dengan semua ini? Tanpa ragu-ragu aku sahut tanda soal itu dengan penuh iltizam juga semangat. Tapi kelakuan juga attitude juga yang bakal memantulkan iltizamku pada realiti. Aku berdoa agar setiapnya dipermudahkan.


Perjalanan luas sekitar lapangan berhabuk memaksa kakiku kejang. Aku terjelepuk disurau kala solat Zohor dihentam sengatan panas mentari dan kaki yang tak mampu berdiri. Barangkali ini petanda aku tidak cukup bersedia menghadapi semua ini. Tapi aku yakin, langkahku tetap terus berjalan andainya aku berusaha sedayanya. Aku tinggalkan Kuala Lumpur, singgah di Tronoh dan terus ke Lumut demi menggapai impianku juga sesuap rezeki Allah.


Hakikatnya, pandanganku pada hakikat pekerjaan ini berubah sekelip mata. Pekerjaan ini perlukan kesabaran, fizikal dan mental utuh, juga ia bukan tugas yang popular bak selebriti. Tanggalkan tali leher kemas, perhiasan ribuan ringgit dan ego dalam diri. Sebaliknya, sarungkan sepatu berat, bertopi keras, juga sedia untuk kotorkan lengan juga lengkapkan diri dengan toleransi dan semangat berpasukan tinggi.


Doakan semoga aku terus tabah.

-active11-

Wednesday, October 1, 2008

Salam Dari Kota Damansara

Salam semua.

Syukur sempat menitip sedikit sempena Syawal ini. Aku ingin mengucapkan Salam Aidilfitri buat semua. Andai ada kekhilafan lampau, sudi-sudikanlah kalian memaafkan diri yang serba kurang ini.

Sama-samalah kita memeriahkan suasana lebaran ini dengan ukhwah islamiah, tradisi berziarah dan bermesra sesama kita. Indah suasana hari raya dengan ucapan selamat dan saling bermaafan sesama insan. Aku mendoakan perjalananku sentiasa ceria dan selamat sempena hari raya ini. Kenangan bersama Opah haji di Pasir Salak dan ketenangan Kuala Kangsar begitu menggamit hati. Insya Allah aku segera ingin pulang bermesra dengan sanak saudara di kampung. Doakan perjalananku sekeluarga selamat insyaAllah.
Selamat Hari Raya Aidilfitri,
Maaf zahir batin.
-active11-