Saturday, June 20, 2009

Happy Father's Day, Abah..


Salam,


Sisipan ikhlas untuk Abah yang mengajar aku erti Kasih..dan perjuangan.
Semangat abah yang tidak mengenal rasa jemu mencari rezeki, kini abah wariskan nikmat kasih buat isterimu,-ibu pada anak-anakmu..buat keluargamu..buat mertuamu..serta semua yang berdamping denganmu.


Tanpa rotan abah dikala aku baru 'tumbuh akal', tanpa kata pedasmu dikala aku baru berdikari, tanpa air matamu ketika menghantar aku ke asrama penuh, tanpa jerit perihmu dinihari kala aku menemani abah, aku yakin aku takkan seusia ini. Bahkan aku takkan berdiri ditempat ini. Kesempatan singkat, aku sisipkan untuk abah..sementara aku masih punya jasad abah dihadapan mataku..untuk aku berterima kasih buat pengorbanan Abah..


Aku berikrar untuk segagah Abah, sedaya upaya membangunkan keluarga, melengkapkan ilmu buat anak-anakmu, berusaha yang terbaik demi agama yang Abah junjung selalu..Buat Umairah Arina & Izzati, kenangkanlah jasa dan kudrat abah untuk kita..gelak tawa Abah yang menghias meja rumah kita, dari rezeki yang Abah cari barangkali bukan untuk dirinya, tetapi untuk dikongsi bersama Mama dan anak-anaknya.


Happy Father's Day.. Abah...

Friday, March 13, 2009

Belajar Dari Kejatuhan



Alhamdulillah aku masih punya kudrat untuk berkongsi.
Salam wahai sahabat.

Entri ini adalah yang pertama untuk tahun ini-2009. Belajar dari kejatuhan. Aku terkilas zaman remajaku yang penuh gelak tawa. Tanpa sedar aku melewati usia remaja tanpa sumbangan bermakna..pada diri sendiri juga pada sesiapa. Barangkali aku tewas dengan ujian Allah padaku kala Dia benar-benar mengharapkan aku sentiasa dekat padaNya. Terkenang bagaimana dengan mudah aku tanpa pedulikan sesiapa untuk membesar dalam duniaku sendiri. Tapi kini dunia sudah berbeza, aku perlukan sinergi untuk terus melangkah kehadapan terutamanya dalam ruang kerjaya yang mencabar!

Aku-Belajar Dari Kejatuhan- aku jatuh lagi dari Utara, dan terperosok pula nun di Selatan. Tapi aku pasti setiap 'kejatuhan' punya jutaan pengajaran dan pengalaman. Makin dinilai, makin benar analogi mudah masyarakat lama. -Hidup ini bagai roda, adakala kita diatas, ada masa kita dibawah-.

Perjuanganku tetap sama, cuma bertukar warna uniform juga suasana kerja. Dipalit semula debu-debu industri, barangkali mampu memberi aku ruang lebih luas untuk aku menerokai potensi diri. Semoga sahabat mampu selitkan doa buat aku, sekurangnya untuk aku terus berusaha membaiki khilaf diri ini. I am fighting for myself, to be put on the right track as what Allah has told me to.

MSM@PCSB
active11

Wednesday, December 31, 2008

Kejayaan??


Salam semua,

Terlontar persoalan dalam diri, apekah azam aku untuk 2009?
Aku termenung panjang dibumi Sitiawan yang nyaman dan mendamaikan.Tidak mahu berangan-angan tinggi, tapi cukuplah sekadar aku ingin membaiki diri agar lebih baik daripada tahun-tahun sudah. Mungkin asasnya nampak mudah, tapi resolusi ini sukar untuk digapai!!!


Aku bersyukur sekurang-kurangnya tahun 2008 ditutup dengan nota gembira. Aku tidak menafsir ia sebagai KEJAYAAN, namum itu adalah ASAS PADA PERJALANAN YANG PANJANG. Masih tergambar jerit perih keluarga membesarkan aku dulu, kini tiba masanya aku pula berbakti pula pada semua. Melihat senyuman keluarga tiap kali pulang bercuti, aku makin yakin untuk melangkah maju dalam kerjaya. Evolusi dari seorang kanak-kanak kecil, melangkah menjadi remaja aktif, kini seorang belia yang terpikul tanggungjawab. Aku berikrar agar istiqamah untuk terus berbudi akan sentiasa tebal dalam diri.


Dalam menutup tahun 2008 ini, suka aku berterima kasih pada Kencana HL kerana memberi aku ruang untuk aku belajar dan terus belajar. Bimbingan dan sokongan semua, amatlah dihargai. Kini aku jelas, masih banyak ruang untuk aku memperbetulkan kelemahan diri demi menjadi jurutera yang kompetan.


Masih belum terlewat juga untuk aku sampaikan salam Maal Hijrah untuk kalian. Semoga tahun 1430 dan 2009 memberi sinar cerah ditengah-tengah kita berperang dengan konflik dunia terutamanya keadaan ekonomi yang mencengkam. Semoga kita terus bercita-cita tinggi, namun sahsiah terpantul rasa rendah diri.
Selamat Tahun Baru 2009!!!

active11

Sunday, November 30, 2008

Aku Dan Dewasa

Salam semua,

Begitu deras masa berlalu, aku hampir tiada masa untuk menulis dan berkongsi. Semua makin dihambat waktu mencari sinar dalam kekalutan meraih rezeki. Andaikan dulu usiaku berperang dengan buku, tapi kali ini usiaku dicelah habuk dan debu. Mujur juga tergerak hati ini untuk mencoret sesuatu, Alhamdulillah.

Menghabiskan hujung minggu dengan acara 'orang bujang' cukup memberi aku kebebasan dan kelapangan.Biarlah hujung minggu ini diisi dengan hal bermanfaat daripada terlajak tidur sampai matahari meninggi. Tapi aku dapat merasakan aku semakin culas untuk membaca. Realitinya, aku tidak mampu menghabiskan walau sebuah buku sejak bekerjaya. Benarlah firman Allah, 'Demi masa, Sesungguhnya Manusia dalam kerugian'. Semoga aku tidak terus rugi dan berputiknya kesedaran ini bakal membawa manfaat untuk diri sendiri dan juga masyarakat.

Berbicara pada isu kerjaya, suka andai aku dapat berkongsi pengalaman yang tidak seberapa ini. Menceburi bidang fabrikasi, semuanya berkait rapat dengan 'material' dan spesifikasi. Sudahkan berperang dengan berjenis-jenis dokumen dan prosedur, seringkali juga bertelagah dengan para kontraktor yang bermacam ragam. Andai dulu aku berlembut dan diserbu seribu satu persoalan, tapi kini aku menjadi lebih dewasa. Aku belajar agar bertegas dan lebih bertanggungjawab atas setiap yang diputuskan. Tugas jurutera tak semudah yang disangka. Ada tarikan semulajadi untuk diketahui. Punya jutaan kejutan pada setiap satu keputusan. Tekanan sudah menjadi mainan hidup walaupun untuk jurutera setahun jagung ini. Biarlah, masih banyak masa untuk enjoy dengan pilihan hidupku ini.

Sementelah yang menarik dengan tugasan ini, aku berpeluang mendekati lebih rapat 'lembaga api' yang menjadi ikon tetap dunia petroleum, - Pelantar Minyak-. Syukurlah, aku berpeluang merungkai satu persatu persoalan berkaitan dunia carigali minyak dengan Kencana HL. Sekurang-kurangnya, aku beroleh ilmu dengan pengalaman dan dari pengetahuan orang lain. Diharapkan hari-hari mendatang bakal melengkapi aku dengan lebih banyak rahsia dunia kejuruteraan. Aku makin jatuh cinta dengan kerja, makin bersemangat mengembangkan ilmu juga makin bersedia berhadapan tekanan.

active_11

Sunday, October 19, 2008

++Bukan Larian Biasa++Samsung innov8 Run++


Salam semua.
Aku mencari tenaga dalam kelelahan minggu yang panjang. Meraba kekunci laptop yang begitu berjasa sepanjang pengajianku benar memberi aku kelapangan. Kelapangan yang dinikmati hanya pada hujung minggu. Aku ditempias virus 'workoholic' daripada lapangan berdebu Pelabuhan Lumut.


Mujur Ahad muncul menyelamatkan jiwa yang ingin enjoy. Dapatlah aku memberikan ruang buat mindaku untuk isu-isu semasa yang sarat dengan politik dan ekonomi yang meletus serata dunia. Semakin ditancap, makin berat kepala berputar dengan arus dunia yang seakan-akan dilanda badai besar.

Aku melewati berita semasa dengan meneliti pula 'gadget' terbaru di pasaran. Aku begitu tertarik dengan Samsung innov8 canggih yang memenuhi citarasa setiap individu sofistikated masa kini. Rekaannya berkeupayaan tinggi bahkan ia menjadi impian aku untuk memilikinya. Nak atau tidak, aku telah meletakkan satu impian. Ia kekal menjadi impian, namun impian mampu dikejar jadi kenyataan.

Samsung innov8 Run

Rangka promosi innov8 merangkumi sesi Samsung innov8 Run. Aku melihat ini platform terbaik untuk menguji 'chemistry' aku bersama innov8 disamping dapat meluangkan masa bersama 'pecinta gadget' yang lain bertukar idea dan maklumat. Barangkali sesi ini bakal menambat hatiku untuk membuat pelaburan memilikinya. Ingat, aku punya impian heheh. Tambahan pula, aku suka mencabar keupayaan sendiri. Dibantu dengan peranti terbaik dan semangat kerjasama berkumpulan, aku pasti menghasilkan kerja terbaik untuk acara itu nanti. Mana tahu, aku mungkin bertuah dapat memiliki innov8 secara percuma diakhir acara.Hehehe.. aku memasang angan-angan dan ia mungkin akan jadi KENYATAAN.

-active11-

Tuesday, October 14, 2008

Kuala Lumpur - Tronoh - Lumut


Kuala Lumpur - Tronoh - Lumut


Salam,

Episod baru hidupku.Puas menanti, akhirnya aku dikurnia nikmat yang tak terhingga,- Alam perkerjaan. Nah terbentang lapangan nan luas di mukim Lumut aku mencampakkan diri dibawah terik mentari.


Hariku disambut lembaga besi tegap berpakaian kuning yang begitu asing juga tugasan menghadiri sesi taklimat keselamatan wajib untuk 'orang baru' yang punya idea sifar. Aku teruja dengan cabaran baru ini yang bakal mengerah seluruh keringatku demi sesuap rezeki.

Ya..aku mencari rezeki halal dimuka bumi Tuhan yang Esa.


Motivasiku jelas mengejar cita-cita yang dikejar sekian lama, aku bagai tak sabar-sabar memulakan perjalanan jauh dalam konteks seorang pekerja, makan gaji dan penuh dengan etika kerja (macam la aku seorang yang beretika sangat heheh). Persoalan pertama yang muncul daripada Bos ialah, adakah aku mampu berhadapan dengan semua ini? Tanpa ragu-ragu aku sahut tanda soal itu dengan penuh iltizam juga semangat. Tapi kelakuan juga attitude juga yang bakal memantulkan iltizamku pada realiti. Aku berdoa agar setiapnya dipermudahkan.


Perjalanan luas sekitar lapangan berhabuk memaksa kakiku kejang. Aku terjelepuk disurau kala solat Zohor dihentam sengatan panas mentari dan kaki yang tak mampu berdiri. Barangkali ini petanda aku tidak cukup bersedia menghadapi semua ini. Tapi aku yakin, langkahku tetap terus berjalan andainya aku berusaha sedayanya. Aku tinggalkan Kuala Lumpur, singgah di Tronoh dan terus ke Lumut demi menggapai impianku juga sesuap rezeki Allah.


Hakikatnya, pandanganku pada hakikat pekerjaan ini berubah sekelip mata. Pekerjaan ini perlukan kesabaran, fizikal dan mental utuh, juga ia bukan tugas yang popular bak selebriti. Tanggalkan tali leher kemas, perhiasan ribuan ringgit dan ego dalam diri. Sebaliknya, sarungkan sepatu berat, bertopi keras, juga sedia untuk kotorkan lengan juga lengkapkan diri dengan toleransi dan semangat berpasukan tinggi.


Doakan semoga aku terus tabah.

-active11-

Wednesday, October 1, 2008

Salam Dari Kota Damansara

Salam semua.

Syukur sempat menitip sedikit sempena Syawal ini. Aku ingin mengucapkan Salam Aidilfitri buat semua. Andai ada kekhilafan lampau, sudi-sudikanlah kalian memaafkan diri yang serba kurang ini.

Sama-samalah kita memeriahkan suasana lebaran ini dengan ukhwah islamiah, tradisi berziarah dan bermesra sesama kita. Indah suasana hari raya dengan ucapan selamat dan saling bermaafan sesama insan. Aku mendoakan perjalananku sentiasa ceria dan selamat sempena hari raya ini. Kenangan bersama Opah haji di Pasir Salak dan ketenangan Kuala Kangsar begitu menggamit hati. Insya Allah aku segera ingin pulang bermesra dengan sanak saudara di kampung. Doakan perjalananku sekeluarga selamat insyaAllah.
Selamat Hari Raya Aidilfitri,
Maaf zahir batin.
-active11-