Friday, January 11, 2008

Dimana Adik Sharlinie?



Salam 2008
Sedar atau tidak, kita melangkah masuk minggu ketiga 2008. Muharram juga semakin menginjak matang walaupun kita baru melalui hari ketiga 1429 Hijriah. Tanpa sedar, sebahagian warga Malaysia masih ditakuk lama, berpegang pada realiti kehidupan yang kosong-sunyi.

Aku mengomel?
Benar, aku mengomel sendiri.
Tidak lama selepas Kes Adik Nurin, Malaysia tetap sama. Goncang lagi dengan Kes Adik Sharlinie. 2007 & 2008, seperti tiada bezanya, kita mudah 'terhantuk baru tergadah' tetapi tiada kesan ekstrim atas semua yang berlaku. Bukan aku mencari titik salah insan lain, apatah lagi ingin menambah kesengsaraan-kerisauan keluarga Adik Sharlinie, namun entri ini aku sisip untuk memulas telinga sendiri (juga pembaca) agar segera berubah menjadi lebih baik. Biar segenap bidang, wajar aku menjadi lebih baik. Kepada diri sendiri, keluarga dan masyarakat, membetulkan kepincangan adalah tanggungjawab bersama. Walaupun hal ini mungkin remeh -Pengawasan Kanak-Kanak-, tetapi implikasinya besar kepada masyarakat hari ini yang semakin rakus mengejar kemewahan sampai lupa nikmat lahirnya anak-anak sebagai penghias kehidupan.

Menyentuh hal - Pengawasan Kanak-Kanak-,
Aku sedar mereka perlukan pengawasan sewajarnya kerana kelemahan yang Allah ciptakan untuk mereka, proses membelajaran yang memakan masa lama untuk matang memaksa warga masyarakat bersabar akan kerenah adik-adik kecik ini. Kehilangan Adik Sharlinie pada 10 Jan jam 11 pagi selepas bermain ditaman permainan tanpa ditemani ahli keluarga yang lebih dewasa sebenarnya mengundang penjenayah. Adalah menjadi kemestian seorang kanak-kanak ditemani dewasa biar dimana pun si kanak-kanak tadi melangkah, ke pasar malam, taman permainan, mahupun hanya untuk melintas jalan. Nasi sudah menjadi bubur, semoga masing-masing dapat meneliti hal ini dengan lebih mendalam. Aku si pemerhati yang cuba untuk memperbetulkan diri kerana aku juga dikelilingi insan-insan kecil yang penuh semangat menerokai dunia mencabar.


Dimana Adik Sharlinie?
Buat keluarga Adik Sharlinie, semoga ketabahan mengiringi kalian dalam menghadapi dugaan ini. Kuatkan semangat serta ikhtiar bahkan banyak berdoa pada Allah kerana Dia maha mengetahui segalanya. Suka aku katakan, doaku juga untuk Adik Sharlinie dan ikhtiarku berjalan melingkupi seganap mana aku melangkah terutama di Tronoh dan Ipoh. Aku berharap episod ini berakhir dengan nota positif.

Buat aku, peganglah pada perkara yang mudah,
Andai kau seorang Lelaki, jadilah seorang Lelaki yang Pelindung,
Andai kau seorang Wanita, jadilah seorang Wanita yang Penyayang.


Insan yang penuh kekhilafan.
-Mengomel-

No comments: