Sunday, November 30, 2008

Aku Dan Dewasa

Salam semua,

Begitu deras masa berlalu, aku hampir tiada masa untuk menulis dan berkongsi. Semua makin dihambat waktu mencari sinar dalam kekalutan meraih rezeki. Andaikan dulu usiaku berperang dengan buku, tapi kali ini usiaku dicelah habuk dan debu. Mujur juga tergerak hati ini untuk mencoret sesuatu, Alhamdulillah.

Menghabiskan hujung minggu dengan acara 'orang bujang' cukup memberi aku kebebasan dan kelapangan.Biarlah hujung minggu ini diisi dengan hal bermanfaat daripada terlajak tidur sampai matahari meninggi. Tapi aku dapat merasakan aku semakin culas untuk membaca. Realitinya, aku tidak mampu menghabiskan walau sebuah buku sejak bekerjaya. Benarlah firman Allah, 'Demi masa, Sesungguhnya Manusia dalam kerugian'. Semoga aku tidak terus rugi dan berputiknya kesedaran ini bakal membawa manfaat untuk diri sendiri dan juga masyarakat.

Berbicara pada isu kerjaya, suka andai aku dapat berkongsi pengalaman yang tidak seberapa ini. Menceburi bidang fabrikasi, semuanya berkait rapat dengan 'material' dan spesifikasi. Sudahkan berperang dengan berjenis-jenis dokumen dan prosedur, seringkali juga bertelagah dengan para kontraktor yang bermacam ragam. Andai dulu aku berlembut dan diserbu seribu satu persoalan, tapi kini aku menjadi lebih dewasa. Aku belajar agar bertegas dan lebih bertanggungjawab atas setiap yang diputuskan. Tugas jurutera tak semudah yang disangka. Ada tarikan semulajadi untuk diketahui. Punya jutaan kejutan pada setiap satu keputusan. Tekanan sudah menjadi mainan hidup walaupun untuk jurutera setahun jagung ini. Biarlah, masih banyak masa untuk enjoy dengan pilihan hidupku ini.

Sementelah yang menarik dengan tugasan ini, aku berpeluang mendekati lebih rapat 'lembaga api' yang menjadi ikon tetap dunia petroleum, - Pelantar Minyak-. Syukurlah, aku berpeluang merungkai satu persatu persoalan berkaitan dunia carigali minyak dengan Kencana HL. Sekurang-kurangnya, aku beroleh ilmu dengan pengalaman dan dari pengetahuan orang lain. Diharapkan hari-hari mendatang bakal melengkapi aku dengan lebih banyak rahsia dunia kejuruteraan. Aku makin jatuh cinta dengan kerja, makin bersemangat mengembangkan ilmu juga makin bersedia berhadapan tekanan.

active_11

Sunday, October 19, 2008

++Bukan Larian Biasa++Samsung innov8 Run++


Salam semua.
Aku mencari tenaga dalam kelelahan minggu yang panjang. Meraba kekunci laptop yang begitu berjasa sepanjang pengajianku benar memberi aku kelapangan. Kelapangan yang dinikmati hanya pada hujung minggu. Aku ditempias virus 'workoholic' daripada lapangan berdebu Pelabuhan Lumut.


Mujur Ahad muncul menyelamatkan jiwa yang ingin enjoy. Dapatlah aku memberikan ruang buat mindaku untuk isu-isu semasa yang sarat dengan politik dan ekonomi yang meletus serata dunia. Semakin ditancap, makin berat kepala berputar dengan arus dunia yang seakan-akan dilanda badai besar.

Aku melewati berita semasa dengan meneliti pula 'gadget' terbaru di pasaran. Aku begitu tertarik dengan Samsung innov8 canggih yang memenuhi citarasa setiap individu sofistikated masa kini. Rekaannya berkeupayaan tinggi bahkan ia menjadi impian aku untuk memilikinya. Nak atau tidak, aku telah meletakkan satu impian. Ia kekal menjadi impian, namun impian mampu dikejar jadi kenyataan.

Samsung innov8 Run

Rangka promosi innov8 merangkumi sesi Samsung innov8 Run. Aku melihat ini platform terbaik untuk menguji 'chemistry' aku bersama innov8 disamping dapat meluangkan masa bersama 'pecinta gadget' yang lain bertukar idea dan maklumat. Barangkali sesi ini bakal menambat hatiku untuk membuat pelaburan memilikinya. Ingat, aku punya impian heheh. Tambahan pula, aku suka mencabar keupayaan sendiri. Dibantu dengan peranti terbaik dan semangat kerjasama berkumpulan, aku pasti menghasilkan kerja terbaik untuk acara itu nanti. Mana tahu, aku mungkin bertuah dapat memiliki innov8 secara percuma diakhir acara.Hehehe.. aku memasang angan-angan dan ia mungkin akan jadi KENYATAAN.

-active11-

Tuesday, October 14, 2008

Kuala Lumpur - Tronoh - Lumut


Kuala Lumpur - Tronoh - Lumut


Salam,

Episod baru hidupku.Puas menanti, akhirnya aku dikurnia nikmat yang tak terhingga,- Alam perkerjaan. Nah terbentang lapangan nan luas di mukim Lumut aku mencampakkan diri dibawah terik mentari.


Hariku disambut lembaga besi tegap berpakaian kuning yang begitu asing juga tugasan menghadiri sesi taklimat keselamatan wajib untuk 'orang baru' yang punya idea sifar. Aku teruja dengan cabaran baru ini yang bakal mengerah seluruh keringatku demi sesuap rezeki.

Ya..aku mencari rezeki halal dimuka bumi Tuhan yang Esa.


Motivasiku jelas mengejar cita-cita yang dikejar sekian lama, aku bagai tak sabar-sabar memulakan perjalanan jauh dalam konteks seorang pekerja, makan gaji dan penuh dengan etika kerja (macam la aku seorang yang beretika sangat heheh). Persoalan pertama yang muncul daripada Bos ialah, adakah aku mampu berhadapan dengan semua ini? Tanpa ragu-ragu aku sahut tanda soal itu dengan penuh iltizam juga semangat. Tapi kelakuan juga attitude juga yang bakal memantulkan iltizamku pada realiti. Aku berdoa agar setiapnya dipermudahkan.


Perjalanan luas sekitar lapangan berhabuk memaksa kakiku kejang. Aku terjelepuk disurau kala solat Zohor dihentam sengatan panas mentari dan kaki yang tak mampu berdiri. Barangkali ini petanda aku tidak cukup bersedia menghadapi semua ini. Tapi aku yakin, langkahku tetap terus berjalan andainya aku berusaha sedayanya. Aku tinggalkan Kuala Lumpur, singgah di Tronoh dan terus ke Lumut demi menggapai impianku juga sesuap rezeki Allah.


Hakikatnya, pandanganku pada hakikat pekerjaan ini berubah sekelip mata. Pekerjaan ini perlukan kesabaran, fizikal dan mental utuh, juga ia bukan tugas yang popular bak selebriti. Tanggalkan tali leher kemas, perhiasan ribuan ringgit dan ego dalam diri. Sebaliknya, sarungkan sepatu berat, bertopi keras, juga sedia untuk kotorkan lengan juga lengkapkan diri dengan toleransi dan semangat berpasukan tinggi.


Doakan semoga aku terus tabah.

-active11-

Wednesday, October 1, 2008

Salam Dari Kota Damansara

Salam semua.

Syukur sempat menitip sedikit sempena Syawal ini. Aku ingin mengucapkan Salam Aidilfitri buat semua. Andai ada kekhilafan lampau, sudi-sudikanlah kalian memaafkan diri yang serba kurang ini.

Sama-samalah kita memeriahkan suasana lebaran ini dengan ukhwah islamiah, tradisi berziarah dan bermesra sesama kita. Indah suasana hari raya dengan ucapan selamat dan saling bermaafan sesama insan. Aku mendoakan perjalananku sentiasa ceria dan selamat sempena hari raya ini. Kenangan bersama Opah haji di Pasir Salak dan ketenangan Kuala Kangsar begitu menggamit hati. Insya Allah aku segera ingin pulang bermesra dengan sanak saudara di kampung. Doakan perjalananku sekeluarga selamat insyaAllah.
Selamat Hari Raya Aidilfitri,
Maaf zahir batin.
-active11-

Tuesday, August 19, 2008

Convo 2008


Salam semua,


Entri ini barangkali sekadar meyampaikan berita. Aku ingin menjemput kalian memeriahkan Convo UTP ke-8 pada hujung minggu ini. Disempatan ini juga aku mengucapkan tahniah pada semua graduan UTP juga kenalan senior & junior yang banyak membantu sepanjang pengajianku di bumi Tronoh.


Tidak dapat disangkal rasa teruja ingin kembali ke tempat yang memberi sejuta erti dalam hidup. Tempat jatuh lagikan dikenang, inikan pula tempat mencanai ilmu. Kepingin aku bertemu kenalan lama yang sama-sama berjuang sejak lima tahun lepas. Kalian besar ertinya buat aku. Semoga ukwah kita berkekalan hendaknya. Buat para pensyarah dan semua yang membantu, aku sekali lagi mengucapkan terima kasih atas sokongan kalian.

Semoga bertemu lagi.

-active11-

Sunday, July 27, 2008

Aku Kembali..

Salam semua.

Alhamdulillah, tergerak hati juga aku ingin menulis dan berkongsi kembali setelah sebulan tidak bersua. Bukan sibuk, bukan juga pergi tak kembali, tetapi culas untuk menulis tambahan pula kekeringan idea yang benar-benar kontang.

Barangkali kalian tertanya-tanya dimana aku sejak sebulan lepas. Aku masih dikota yang penuh sesak ini-Kuala Lumpur-. Cuma kali ini bernafas bak insan yang lepas dari kekangan buku, tetapi tersekat dek hambatan ringgit yang mencekak erat. Realiti seorang penganggur hehehe. Aku masih berikhtiar mencari sesuap rezeki di bumi Allah yang luas ini, barangkali tuah masih belum menyebelahi aku pada waktu ini. (Bunyi macam orang frust je heheheh). Biarlah, sekurangnya aku masih mengisi benak hati dengan ilmiah dan sangat gembira meneman mama ku dirumah. Punya masa membelek buku lama di rak penuh habuk, mengemas rumah seakan jadi rutin harian, juga bercakap dengan 'sahabat nabi' saban hari. Aku gembira namun hati tetap duka menanti 'tugas lebih mencabar'.

Aku tinggalkan cerita penganggurku yang belum bernokhtah. Semoga cepat ia berakhir insyaAllah. Kali ini aku sempat mengambil sedikit ruang berkunjung ke The Malaysia International Lanscape & Garden Festival 2008 atau LAMAN 2008 yang bertempat di Taman Tasik Perdana. Kunjungan kali merupakan manifestasiku pada angan-angan memiliki ruang hijau dirumah sendiri kelak. Tertancap dengan pelbagai lanskap rekaan kontemporari juga tradisional, terpesona sebenarya melihat warna-warni flora yang rapi mewujudkan suasana santai damai. Manakan tidak, semua penyertaan begitu memikat mata, ingin saje memiliki semuanya seberapa segera. Dua jam menikmatinya, tak terasa pedang masa pantas mencantas. Semoga semuanya tidak sia-sia.

Tahniah pada semua pihak atas penganjuran LAMAN 2008, selain menonjolkan khasiat alam tropika juga susun atur terkini, aku mengakui festival ini menjadi platform menyemai minat kanak-kanak terhadap alam sekitar. Mereka berlari riang dalam taman hijau, punya ruang berinteraksi dengal alam yang kian sempit. Aku pula disabit rasa girang melihat telatah mereka. (hehe aku dah dekat sampai seru kot). Maka aku kembali...berfikir.

p/s : *sahabat nabi = kucingku yang bernama Kaka.
-Active11-

Tuesday, June 10, 2008

Alhamdulillah & Terima Kasih


Syukur Alhamdulillah.

Tanggal keramat 11 Jun terpateri kekal dalam ingatan. Ini merupakan entri terakhir aku sebelum bergelar graduan. Ya , aku mempergunakan lima tahun umurku di bumi Tronoh mencari entiti diri buat bekalan masa hadapan. Bila tiba dipenghujung jalan, perpisahan tidak dapat dielakkan, aku terpaksa melangkah pergi mencari haluan sendiri, satu desa yang tidak diketahui hujungnya. Desa yang penuh ranjau dan tekanan,-Alam pekerjaan-.

Saat ini aku di 'flashback' dengan seribu satu kenangan. Dari alam suai kenal dengan dunia kejuruteraan, berkenalan dengan sahabat dan para pensyarah yang berbagai ragam, ber'kampung' di IRC setiap musim peperiksaan, juga bertemu pilihan hati yang saban waktu aku berdoa untukny agar dijodohkan bersama, insyaAllah. Semuanya bakal terpahat kemas dalam ingatan yang mencorak masa depan aku. Aku beroleh kematangan berkat usahaku mencanai ilmu di UTP.

Aku mengambil kesempatan ini untuk melahirkan rasa syukur dan jutaan penghargaan buat semua insan yang berdiri teguh sepanjang pengajianku.

Dititip khas buat,
Hj. Mokhtar Hj. Mohamed
Hjh. Nor Asiah Hj. Aris
Umairah Arina Hj. Mokhtar
Umairah Izzati Hj. Mokhtar

Terima kasih atas pengorbanan dan doa yang tidak jemu-jemu daripada abah-mama. Buat masz dan izzati, diharapkan kalian menjadi lebih berjaya dan jauh lebih baik berbanding abg.

Buat,
Hj. Aris Jamali
Hjh. Khadijah Ngah Abdullah
Hj. Nor Azmi Saparuddin Hj. Aris
Nor Azri Shahril Hj. Aris

Buat atuk-opah yang merencah hidupku dengan nasihat dan dorongan semangat. Setiap kata-kata mereka menjadi mutiara dalam hidupku. Semoga aku sempat berbakti biarpun hanya dipenghujung usia mereka. Juga buat uncle yang membakar perjuanganku sejak daripada kecil. Sumbangan Angah&Acu juga tidak ternilai harganya.

Istimewa buat,
Miss Nur Syahadah Mohd Sapli
Sarimah Md Ali
Che Abas

Mereka insan yang penuh dengan maaf dan peluang,biarpun aku juga penuh dengan khilaf. Insan yang membuka juangku pada dimensi yang lebih luas. Terima kasih atas segalanya.

Dikesempatan ini aku ingin mengucapkan jutaan tahniah buat rakan-rakan seperjuangan (MAY 2003) yang telah menamatkan pengajian dan bakal menempuh alam baru juga buat para guru yang mendidik dan mengasuh kami. Andai kekurangan melingkari sahsiah juga perilaku aku, maka lengakapkanlah dengan kemaafan. Aku mencari keredaan kalian demi kelana sebuah perjuagan (cewah, macam puisi la pulak heheh).

Gembira+Sedih,
-active11-