Tuesday, January 22, 2008

Semester Baru



Hari ketiga Minggu Pertama
Cuti Sehari.

Salam semua.

Alhamdulillah..semester baru telah bermula.
Aku mengerah keringat kehulu-kehilir mengisi slot lectures yang menyesakkan minda. Barangkali terkesima sekejap mengenangkan cuti semester yang indah, benar-benar indah. Cuma FYP sahaja yang mengisi sehari-hari. Wadah semester akhir ini akan aku isi sewajarnya, itu janji aku pada diri sendiri.

Stamina dikerah sekeras-kerasnya.
Mujur aku sempat beriadah saban petang ditepi tasik dan padang bola. Tidak pun setaraf atlit profesional, cuma riadah untuk menjaga kesihatan dan menghilangkan STRES (juga lemak tepu yang terkumpul). Habuan jangka pendek, aku tidak mengah dalam pengajian minggu pertama semester akhir ini. Semoga berkekalanlah hendaknya nikmat ini insyaAllah.

Perjuangan belum selesai,
Semester akhir ini menuntut aku lebih fokus dalam berperang dengan buku-Ilmu. "Bukan mudah nak berjaya, namun bukan susah juga untuk gagal !!" Teringat nasihat Pn. Adibah (MJSC) sebelum aku melangkah keluar untuk hari terakhir di Muar dulu. Kenangan lalu membikin aku terus tabah menempuh ranjau pengajian tahun akhir (teringat kawan-kawan lama juga, bagaimanakah kalian agaknya sekarang?)


Aku membayangkan semester yang singkat tambah pula dengan kekangan FYP. Tiada alasan untuk terlalu bersenang-lenang kali ini. Semuanya kena bergegas pantas tanpa ada kompromi. Aku juga harus sentiasa bersedia dan lebih fleksibel dengan semua keadaan.

Modern Control Engineering
Engineers In Society (EIS)
Operations Management
Facilities Engineering, Transport & Storage

Pengajian ini menuntut pengorbanan tinggi. Dua hari pertama nampak semuanya baik-bagus, tapi awas, ilmu pengetahuan bisa mencantas insan yang culas. Aku bakal beradu tenaga dengan pelajar Mechanical&Civil untuk Facilities, mengkoreksi diri untuk Operations Management, berperang semula dengan matematik dan berjenis-jenis theorem dalam Modern Control Engineering. EIS pula lebih getir, mengetuai lima-bakal-jurutera memaksa aku mengasah semula public relations (PR) aku yang sudah sedia berkarat. Namun aku yakin aku boleh dan terus mencuba memberi yang terbaik untuk setiap perkara. Selain usaha, aku harus dekatkan diri padaNya. Dia yang menulis semua yang tersurat dan tersirat. Semoga aku terus tabah insyaAllah.

-active_11-

Friday, January 11, 2008

Dimana Adik Sharlinie?



Salam 2008
Sedar atau tidak, kita melangkah masuk minggu ketiga 2008. Muharram juga semakin menginjak matang walaupun kita baru melalui hari ketiga 1429 Hijriah. Tanpa sedar, sebahagian warga Malaysia masih ditakuk lama, berpegang pada realiti kehidupan yang kosong-sunyi.

Aku mengomel?
Benar, aku mengomel sendiri.
Tidak lama selepas Kes Adik Nurin, Malaysia tetap sama. Goncang lagi dengan Kes Adik Sharlinie. 2007 & 2008, seperti tiada bezanya, kita mudah 'terhantuk baru tergadah' tetapi tiada kesan ekstrim atas semua yang berlaku. Bukan aku mencari titik salah insan lain, apatah lagi ingin menambah kesengsaraan-kerisauan keluarga Adik Sharlinie, namun entri ini aku sisip untuk memulas telinga sendiri (juga pembaca) agar segera berubah menjadi lebih baik. Biar segenap bidang, wajar aku menjadi lebih baik. Kepada diri sendiri, keluarga dan masyarakat, membetulkan kepincangan adalah tanggungjawab bersama. Walaupun hal ini mungkin remeh -Pengawasan Kanak-Kanak-, tetapi implikasinya besar kepada masyarakat hari ini yang semakin rakus mengejar kemewahan sampai lupa nikmat lahirnya anak-anak sebagai penghias kehidupan.

Menyentuh hal - Pengawasan Kanak-Kanak-,
Aku sedar mereka perlukan pengawasan sewajarnya kerana kelemahan yang Allah ciptakan untuk mereka, proses membelajaran yang memakan masa lama untuk matang memaksa warga masyarakat bersabar akan kerenah adik-adik kecik ini. Kehilangan Adik Sharlinie pada 10 Jan jam 11 pagi selepas bermain ditaman permainan tanpa ditemani ahli keluarga yang lebih dewasa sebenarnya mengundang penjenayah. Adalah menjadi kemestian seorang kanak-kanak ditemani dewasa biar dimana pun si kanak-kanak tadi melangkah, ke pasar malam, taman permainan, mahupun hanya untuk melintas jalan. Nasi sudah menjadi bubur, semoga masing-masing dapat meneliti hal ini dengan lebih mendalam. Aku si pemerhati yang cuba untuk memperbetulkan diri kerana aku juga dikelilingi insan-insan kecil yang penuh semangat menerokai dunia mencabar.


Dimana Adik Sharlinie?
Buat keluarga Adik Sharlinie, semoga ketabahan mengiringi kalian dalam menghadapi dugaan ini. Kuatkan semangat serta ikhtiar bahkan banyak berdoa pada Allah kerana Dia maha mengetahui segalanya. Suka aku katakan, doaku juga untuk Adik Sharlinie dan ikhtiarku berjalan melingkupi seganap mana aku melangkah terutama di Tronoh dan Ipoh. Aku berharap episod ini berakhir dengan nota positif.

Buat aku, peganglah pada perkara yang mudah,
Andai kau seorang Lelaki, jadilah seorang Lelaki yang Pelindung,
Andai kau seorang Wanita, jadilah seorang Wanita yang Penyayang.


Insan yang penuh kekhilafan.
-Mengomel-

Monday, December 31, 2007

Marhaban 2008

Selamat tinggal 2007

Alhamdulillah..syukur dapat menginjak dewasa ketahun baru. Selawat&Salam buat junjungan besar Muhammad SAW. Aku mengucapkan selamat untuk segalanya pada diri sendiri,keluarga dan rakan taulan sempena kedatangan tahun 2008. Semoga hadirnya 2008 membawa jutaan kebajikan untuk kita semua sebagai bekalan bertemuNya kelak.

Aku panjatkan doa sejahtera buat Abah,Mama dan adik-adik tercinta serta tidak kulupa buat Nur Syahadah & Keluarga. Kalian pembakar semangat juang untuk aku terus menulis biarpun blog ini asalnya hanya untuk meng'update' perkembangan diriku.

Yang baik datangnya daripada Allah, yang buruk juga datangnya daripada Allah juga ditokok kesilapan aku sebagai hambaNya.Semoga kita beroleh manfaat bersama. insya Allah.

Marhaban 2008.

Friday, December 21, 2007

Kualiti vs Kuantiti ( Menangisi Waktu )


Cuti semester berbaki dua minggu lagi.

-mengeluh panjang-.
Cepat waktu berlalu bagai tiada ruang untuk aku bernafas bebas. Menangisi pedati waktu takkan mampu aku undurkan semula biarpun meratap meraung ingin detik menjadi lambat - lewat.
Kala ini aku merenung kembali fitrahku sebagai seorang anak yang terpikul amanah untuk membahagiakan kedua orang tuaku dan sama pentingnya untuk aku mendoakan kesejahteraan mereka kelak, insyaAllah.

-entahlah-
Hati makin sayu mengenangkan masa makin suntuk aku bersama mereka. Jauh disudut hati aku berasa yakin 'Waktu Berkualiti' yang diluangkan lebih besar ertinya berbanding 'Kuantiti Waktu' yang digunakan bersama insan-insan yang aku sayangi. Sebolehnya aku mahu gunakan kesempitan ruang yang berbaki kini untuk merasai luasnya kasih mereka buatku dan adik-adik yang menginjak dewasa. Melihat mereka tersenyum melayan kerenah kami bertiga membikin hati makin sayu. Manakan tidak, lepas berpenat lelah mencari rezeki,masih punya kudrat memanjakan kami.Kegembiraan keluarga barangkali ada benarnya diukur dengan kuantiti masa yang diperuntukkan tetapi jelas kualiti lebih menjamin kesejahteraan berkekalan.Kualiti yang aku maksudkan berkisar kepada interaksi antara ibu bapa serta anak-anak yang efektif dan dalam suasana mesra. Aku sendiri tersepit antara kuantiti serta kualiti, tetapi tak punya pilihan. Kualiti . Tegas aku berpendirian, akan aku gunakan 'Waktu Berkualiti' ini untuk melihat betapa cantiknya kasih sayang yang Allah lahirkan dalam diri insan bernama Anak buat insan bergelar Abah&Mama.


-merenung-
Abah&Mama;banyak mengajar aku tentang kehidupan. Aku bertanya sendiri,- Adakah aku juga mampu melakukan perkara yang sama buat putera putetiku kelak? Persoalan yang barangkali 'malu' untuk difikirkan dikala ini, namun tiada salahnya aku bercita-cita tinggi untuk memiliki keluarga sendiri. Alangkah indah sekiranya aku mampu membahagiakan zuriatku bagai abah&mama membahagiakan aku ketika ini. Alangkah indahnya sekiranya aku mampu membimbing zuriatku bagai abah&mama menegur salah silap aku dikala ini. Semoga angan-angan ini menjadi kenyataan dengan izinMu yaaAllah.


"Ya Allah, sejahterakan kedua orang tuaku bagaimana mereka telah memelihara serta mengasihiku sejak aku dilahirkan"

Aku menutup entri kali ini dengan ucapan Selamat Hari Raya Aidiladha.
Semoga kebaikan melimpah ruah buat kita serta ibu bapa kita, insya Allah.

Saturday, December 8, 2007

Sekilas


Salam,
Aku mencari ruang untuk menulis lagi.

2030 : 8 Disember 2007.
Berkesempatan menghadiri Konsert Jelajah'07 Koir Kebangsaaa & Duta Lagu Rakyat di Auditorium Taman Budaya Negeri Perak. Persembahan mantap Koir Remaja Kebangsaan mendendangkan lagu rakyat mengingatkan saya pada kenangan zaman mumaiyiz. Betapa lagu-lagu warisan makin terpinggir dan jarang sekali mendapat tempat dewasa ini. Aku menyambut baik usaha yang sedang dibuat oleh Kementerian Kebudayaaan, Kesenian dan Warisan Malaysia (KEKKWA) dalam memartabatkan semula estitika seni yang cukup bernilai ini.

Persembahan klasik Zainal Abidin (Hijau) cukup mengujakan dengan lenggok bahasa yang disenangi semua sesuai dengan kempen Budi Bahasa Budaya Kita. Persembahan berakhir jam 2230 diiringi rasa puas hadirat yang berkesempatan datang. Besar harapan aku agar usaha murni ini mencapai objektif secara komulatif bukan hanya memartabatkan semula lagu-lagu rakyat, bahkan membangunkan bangsa Malaysia yang berperibadi mulia sesuai dengan kehendak Islam yang menekankan aspek berbaik-baik sesama insan juga makhluk cintaan Allah yang lain.

Kalau ada sumur diladang,
Boleh En Edan menumpang mandi,
Kalau ada umur yang panjang,
Boleh En Edan menulis lagi.

Sekian.
p/s : Saya tak pasti perkataaan 'sumur' tetapi dengan suka hati ingin menumpang mandi, jangan meluat dengan gaya penulisan kali ini yang dipengaruhi lingkungan warga Sastera.

Monday, December 3, 2007

Exam Is Over


Fuh..
Akhirnya punya idea untuk update blog.

Salam buat semua.

Exam is Over !! Terkesima sebentar mengenangkan tamatnya peperiksaan tempoh hari. Alhamdulillah Allah berikan kesenangan dan ketegaran untuk mengulangkaji pelajaran hingga beres segalanya. Keseronokan peperiksaan kali ini barangkali tempias perasaan ketika SPM (5 tahun lepas). Keterlaluan ? Tidak. Perasaan sama bila mengenangkan haluan yang bakal terbentang selepas menamatkan pengajian kelak. Bezanya, ketika SPM, kita mencari hala tuju untuk meneruskan pengajian dan kini dilema merebut peluang pekerjaan atau mendaki tangga menara gading lebih tinggi.

2008
Semester akhir bakal menyusul dalam 6 minggu lagi. Aduhai masa, pantas mencantas manusia yang seringkali alpa (sepertiku). Banyak yang perlu dibereskan sementara punya kelapangan sempena cuti semester kali ini. FYP seperti biasa akan mengganggu lenaku di malam hari dan mengisi siangku dengan soalan-soalan cepu emasnya. Kepercayaanku pada janji Allah tetap utuh. Dia akan meringankan beban hambaNya selagi berusaha dan berikhtiar.

Firman Allah : Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya setiap kesukaran disertai kemudahan. (Sekali lagi ditegaskan) : bahawa setiap kesukaran disertai kemudahan. Kemudian apabila engkau telah selesai (daripada melakukan suatu amal soleh), maka bersungguh-sungguhlah engkau berusaha mengerjakan amal soleh yang lain. Dan kepada Tuhanmu sahaja hendaklah engkau bermohon apa yang engkau gemar dan ingini. ( Al-Insyirah, Ayat 5 - 8)

Sejuk hati yang resah bila dipujuk oleh janji-janji Allah. Aku bulatkan tekad untuk memenuhi beberapa resolusi yang telah ditetapkan sepanjang cuti kali ini. Biarlah kemanisan mengais tiap isi minda mendahului sifat kemalasan yang menebal didalam hati. Wajah-wajah kegembiraan orang tersayang dikala aku menggengam ijazah diakhir pengajian ini menjadi pemangkin untuk aku bekerja lebih keras merealisasi impian semua. Mahukah dibiarkan mereka kecewa ? Tepuk dada tanyalah iman.

Sekian untuk coretan kali ini. ( melayan perasaan yang gian untuk menulis ;)

Tuesday, October 9, 2007

Diketerbatasan Waktu


Assalamualaikum,


Minta maaf. Saya dalam keterbatasan waktu yang begitu menyesakkan. Final Year Project (FYP) memaksa otak saya sentiasa dalam mode bekerja hampir setiap masa. Aduhai, keterbatasan ini ibarat pedang yang mencantas tiap susukku dengan begitu rakus. Tuhan, ampunkan hambaMu ini andai aku tak bisa memanfaatkan RamadhanMu ini dengan sewajarnya. Semoga perjuanganku dalam pengajianku menjadi bunga yang mekar dalam syurgaMu. Setiap perjuangan menuntut pengorbanan yang kadangkala begitu menyakitkan. Aku mohon kesabaran dan ketegaran dalam melaksanakan ibadah ini Ya Allah.


Barangkali saya begitu merindui Haramain yang telah dua tahun hilang daripada mata, namun tidak sekali-kali hilang dari sanubari. Suasananya yang begitu tenang memaksa saya seringkali membuat perbandingan antara tanah bertuah bumi Malaysia dengan tanah gersang bumi Mekah & Madinah. Tapi kegersangan bumi itu begitu mendamaikan, begitu menggamit hati untuk kembali lagi. Kesesakan assignments dan reports ini barangkali pemangkin kerinduan saya pada suasana ibadah. Sedarkah kita, 'assignments dan reports' kita yang paling utama adalah pada Allah? Persoalan itu ligat bermain dikepala saya sejak akhir-akhir ini. Barangkali Allah ilhamkan saya agar lebih tegar melaksanakan suruhanNya dihari-hari akhir Ramadhan. Barangkali juga ilham ini wajar dilanjutkan kepada kalian juga supaya kita sama-sama mendapat manfaat daripada madrasah Ramadhan ini. Marilah kita bergegas memenuhi masjid, surau mahupun kuliah ilmu hari-hari akhir Ramadhan ini. Jangan biarkan keterbatasan waktu menjadi penghalang untuk kita mencari cahaya Ilahi. Semoga Ramadhan kali ini bukan yang terakhir untuk kita semua insyaAllah.


إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَـجِدَ اللَّهِ مَنْ ءَامَنَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الاٌّخِرِ وَأَقَامَ الصَّلَوةَ
وَءاتَى الزَّكَوةَ وَلَمْ يَخْشَ إِلاَّ اللَّهَ فَعَسَى أُوْلَـئِكَ أَن يَكُونُواْ مِنَ
الْمُهْتَدِينَ

Hanya yang memakmurkan masjid-masjid Allah ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan Hari kemudian, serta tetap mendirikan shalat, menunaikan zakat dan tidak takut (kepada siapapun) selain kepada Allah, maka merekalah orang-orang yang diharapkan termasuk golongan orang-orang yang mendapat petunjuk”.

(Surah al-Taubah : 18)


Sekian, berjumpa lagi dilain masa (bergegas kembali menyambung kerja ;)